LAHAD DATU DICEROBOH 2013
Masihkah kau ingat ? Insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 ? Masihkah anda semua ingat ada yang bergadai nyawa menjaga kedaulatan negara ? Aku Tingkatan 4 ketika insiden ini berlaku.
Ceritanya bermula pada Februari 2013. Orang awam melihat beberapa orang asing lengkap berpakaian ala tentera dan lengkap bersenjata api memasuki Felda Sahabat, Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah. Mereka dikatakan memasuki Sabah menggunakan bot pancung. Orang awam kemudiannya melaporkan kepada polis kerana bimbangkan ancaman keselamatan. Susulan laporan yang dibuat, anggota keselamatan dikerahkan ke tempat kejadian dan mengesan penceroboh berkenaan. Ketika itu, Ketua Polis Negara ialah Tan Sri Ismail Omar. Beliau mengesahkan perkara tersebut dan berkata penceroboh berkenaan merupakan kumpulan dari Filipina yang menyokong kuat pergerakan Kesultanan Sulu untuk menuntut Sabah.
Bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku, pihak keselamatan negara menjalankan rundingan dengan pihak penceroboh. Ini adalah bagi mengelakkan berlakunya pertumpahan darah. Pelbagai cara dibuat namun rundingan dilihat gagal mengusir penceroboh keluar dari Lahad Datu. Walaupun tempoh rundingan sudahpun tamat, kerajaan Malaysia tetap ingin meneruskan rundingan supaya konflik ini dapat diselesaikan. Namun begitu, Kesultanan Sulu tetap berdegil dan kesemua penceroboh tidak mahu meninggalkan Sabah. Ini memaksa pihak keselamatan Polis Diraja Malaysia meningkatkan kawalan di kawasan konflik.
Pada pagi 1 Mac 2013 itu, berlaku pertempuran antara pihak keselamatan iaitu pasukan VAT 69 PDRM dengan pihak pengganas Sulu. Dalam kejadian itu, pasukan keselamatan berhadapan dengan pertempuran sengit. Dikatakan jarak pasukan keselamatan dengan pihak pengganas hanya 200 meter sahaja. Pertempuran yang berlaku di ladang kelapa sawit itu mengorbanka 2 anggota VAT69 PDRM iaitu Inspektor Zulkfili Mamat dan Koperal Sabarudin Daud. Pertempuran dikatakan bermula apabila pihak pengganas mengibarkan bendera putih kononnya untuk menyerah menyebabkan anggota keselamatan mula menghampiri kawasan berikut sebelum diserang bertalu-talu. Kejadian itu juga mengakibatkan 3 anggota lain cedera dan berjaya mengorbankan 12 pengganas Sulu.
Susulan kejadian itu, kawalan terus dipertingkatkan di Lahad Datu. 2 Mac 2013, seorang pegawai bersama 5 anggota yang lain terbunuh dalam insiden serang hendap yang berlaku di perkampungan air di Simunul, Sabah. Dikatakan pasukan keselamatan dikerahkan ke lokasi kejadian kerana mendapat laporan pengganas menyembunyikan diri di perkampungan tersebut. Tiba di lokasi mereka dikatakan diserang hendap oleh pihak pengganas sehingga memaksa mereka terpaksa berpecah menyembunyikan diri. Pertempuran yang mengorbankan pasukan keselamatan itu dilihat begitu tragis. Mereka terpaksa bertahan seharian dalam gelap gelita sementara menunggu pasukan bantuan sampai. Mereka yang selamat daripada pertempuran itu melihat sendiri rakan sepasukan mereka maut di depan mata.
Berikutan tindakan pengganas yang semakin mengancam, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Abdul Razak mengeluarkan kenyataan menegaskan Sabah milik Malaysia selamanya dan keselamatan tanah air perlu dipelihara. 5 Mac 2013, Ops Daulat dilancarkan bagi memerangi pengganas Sulu. Ops Daulat didahulukan oleh pasukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan melancarkan serangan ke darat sebelum disusuli dengan serangan mortar oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Tujuan serangan adalah untuk mengusir dan membersihkan kawasan pertempuran daripada pengganas Sulu.
Ops Daulat ini dilihat pelbagai aset ketenteraan dikerahkan untuk memastikan tanah air bersih daripada pelbagai ancaman. Gabungan semua pasukan keselamatan dan pertahanan dilihat berhasil menghalau semua pengganas. Selepas dilancarkan, pasukan keselamatan negara mula memasuki kawasan yang dikuasai pengganas pada mulanya. Mereka berjaya menemukan senjata-senjata yang digunakan, beberapa pakaian tentera dan apa yang mengejutkan pasukan keselamatan menemui satu kubur besar yang dalamnya ada mayat pengganas yang terkorban. Operasi diteruskan beberapa hari sehingga keadaan kembali terkawal. Operasi ini dilihat berjaya apabila ada pengganas yang terkorban dan ada yang ditahan. Seorang pengganas juga mati selepas ditangkap dan dibelasah oleh penduduk kampung.
2 anggota ATM juga dilaporkan terkorban semasa Ops Daulat dijalankan dan salah seorangnya meninggal dunia apabila trak yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan. Ekoran insiden ini, Easter Sabah Security Command ( ESSCOM ) ditubuhkan bagi memantau keselamatan di Pantai Timur Sabah. Tindakan diambil bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Sehingga kini, perintah berkurung masih dijalankan dan sudah memasuki beberapa fasa.
Walaupun pelbagai tindakan sudah dibuat oleh kerajaan dan pasukan keselamatan negara, pencerbohan di Sabah masih berlaku dengan adanya kes-kes penculikan dan sebagainya. Cubaan memasuki Sabah juga dapat dikesan dan dipatahkan oleh pasukan keselamatan.
Rasanya ini sahaja yang mampu saya ceritakan. Jika nak diceritakan semuanya, bersemuka lebih baik. Ini antara berita yang saya ikut sampai sekarang. Pengganas-pengganas yang ditangkap juga telah didakwa.
Sayu sebenarnya jika melihat semula video-video perjalanan terakhir anggota keselamatan yang terkorban serta pertempuran di Sabah. Bertakung juga mata jika kenangkan kembali jasa-jasa mereka. Bergadai nyawa. Meninggalkan keluarga, anak kecil demi mempertahankan tanah air. Memastikan generasi masa depan dapat menikmati hidup dengan sejahtera. Baru-baru ini juga diadakan penganugerahan kepada semua anggota tentera yang terlibat dalam Ops Daulat di Sabah.
Cukuplah sampai di sini sahaja cerita saya. Entri kali ini bagi memenuhi janji saya yang lepas. Jika ingin mendengar lebih lanjut boleh jumpa saya. Saya ceritakan mana yang saya tahu. InsyaAllah. Terima kasih .
Comments
Post a Comment