Palestine-Israel
6 Disember 2017, Rabu. Presiden Amerika Syarikat (USA), Donald Trump telah membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia apabila beliau mengumumkan Jerusalem ataupun Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel. Pengumuman tersebut sememangnya membuatkan masyarakat tersentak kerana Jerusalem sebelum ini milik Palestine. Di situ juga terdapatnya Masjid Al-Aqsa yang merupakan antara 3 masjid yang dituntut untuk dilawati. Sememangnya umat Islam di dunia bimbang akan nasib yang bakal menimpa masjid tersebut selepas pengumuman itu dibuat oleh Donald Trump. Google sudah menghilangkan Palestine di Google Map selepas pengumuman Donald Trump. Ternyata kali ini sungguh melampau tindakan mereka.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump
Presiden Turki, Presiden Recep Tayyip Erdogan merupakan antara pemimpin dunia terawal yang menyuarakan bantahan. Tindakan beliau dilihat begitu tegas apabila tersebar video beliau memberikan ucapan membantah tindakan Presiden USA itu.
" Al Quds is Red Line for Muslims ... " itu antara ucapan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Presiden Turki itu berkata tindakan Donald Trump itu tidak mendatangkan keamanan sebaliknya ia akan membangkitkan kemarahan umat Islam dan bantahan secara keras berkemungkinan berlaku. Sememangnya keputusan memindahkan ibu kota Israel dari Tel Aviv ke Jerusalem itu mencabar kewibawaan umat Islam. Turki memberi amaran keras terhadap USA dan Israel serta meminta untuk menarik balik keputusan itu. Turki turut berjanji tidak akan membenarkan Israel mengambil kota Jerusalem dengan sewenang-wenangnya.
Pada Khamis lalu, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Abdul Razak turut mengeluarkan kenyataan menolak cadangan Presiden Amerika Syarikat itu. Beliau menyatakan pendirian Malaysia itu semasa membuat ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Putra World Trade Centre.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak semasa memberikan ucapan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC.
Walaupun Malaysia mempunyai hubungan baik dengan Amerika Syarikat, tidak bermakna kita bersetuju dengan semua tindakan yang mereka lakukan. Semalam juga, Datuk Seri Najib Abdul Razak turut mengesahkan beliau dihubungi oleh Presiden Turki berkenaan isu ini. Turki menghubungi Malaysia kerana negara kita merupakan negara yang bertegas dalam menyelesaikan isu keamanan di Palestine. Masihkah anda ingat resolusi yang dibawa oleh Malaysia bersama beberapa negara lain di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menamatkan penempatan haram Yahudi di bumi Palestine ? Resolusi itu diluluskan 15 negara di bawah Majlis Keselamtan PBB itu bersetuju dan Amerika Syarikat yang ketika itu dibawah pentadbiran Presiden Barack Obama mengambil keputusan untuk berkecuali. Resolusi itu menunjukkan keprihatinan Malaysia dalam mengembalikan keamanan dan kedaulatan Palestine. Jadi, mana mungkin Malaysia bersetuju dengan tindakan Donald Trump.
Selain itu, negara-negara lain seperti China, Perancis, Kesatuan Eropah (EU), Jordan, Mesir, Indonesia serta Lubnan juga turut menyuarakan bantahan. Pemimpin-pemimpin negara ini semuanya menyatakan kebimbangan terhadap tindakan Trump itu. Ada juga yang menggesa Trump menarik semula keputusannya jika tidak mahu berdepan dengan ancaman. Rusia selaku negara berkuasa besar juga turut menggesa Amerika Syarikat menghormati undang-undang antarabangsa dan peraturan PBB. Ketegasan Indonesia dalam membela Palestine dapat dilihat apabila mereka memanggil Duta Besar Amerika Syarikat di Indonesia untuk tampil beri penjelasan.
PENUNJUK perasaan melaungkan slogan termasuk 'Baitulmaqdis hak kami dan akan kekal begitu!' dan 'Jahanam Amerika, jahanam Israel', penunjuk perasaan berarak selepas solat di masjid Ottoman Fatih. - Foto AFP
Sumber : Berita Harian Online
Himpunan aman turut diadakan di Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak pada Jumaat lalu sejurus selesai solat Jumaat.
Foto : Berita Harian Online
Sememangnya bantahan perlu dibuat untuk memberikan tekanan terhadap Amerika Syarikat. Di Amerika Syarikat juga diadakan himpunan membantah tindakan presiden mereka itu.
7 Disember 2017. Sehari selepas pengumuman Donald Trump itu, Pergerakan Hamas di Palestine mengumumkan akan melancarkan Intifada. Intifada ini merupakan kebangkitan umat Islam untuk menentang penindasan. Intifada kali ini ditujukan kepada Zionis yang dilihat semakin melampau.
Semalam, pertempuran di Palestine sudah bermula. Pertempuran yang berlaku dilihat sudah mengorbankan 4 rakyat Palestine. 2 daripadanya dilaporkan anggota Hamas. Perjuangan mereka perlu disokong oleh semua umat Islam. Mereka sudah ditindas, diseksa bertahun lamanya.
Foto menunjukkan rakyat Palestine bertempur dengan tentera Israel di Tebing Barat.
Sumber : Berita Harian Online.
Turut dilaporkan, pejuang Palestine juga melancarkan serangan roket ke Israel tetapi berjaya dipatahkan oleh tentera Israel. 2 pejuang Hamas yang terkorban juga disebabkan oleh serangan udara tentera Israel. Apa yang dapat kita jangkakan, pertempuran kali ini dilihat akan berlarutan kerana kemarahan rakyat Palestine dilihat sudah lama disimpan. Seruan Intifada kali ini sememangnya menjadi pembakar semangat mereka mempertahankan tanah air mereka yang diceroboh.
Palestine memerlukan sokongan dunia. Mereka sudah lama berjuang mempertahankan bumi mereka. Tanpa kelengkapan senjata yang cukup tetapi berbekal semangat, jiwa yang kental serta kerohanian yang tinggi mereka mampu bertahan. Apakah kita masih buta ? Berapa ramai sudah yang berkorban mempertahankan Masjid Al-Aqsa, antara 3 masjid yang suci bersenjatakan apa sahaja yang mampu dicapai.
Di manakah Organisation Of Islamic Cooperation (OIC), Negara-negara Arab di saat Palestine ditindas selama ini ? Kenapa hanya Turki sahaja yang rancak memperjuangkan negara-negara yang tertindas seperti Palestine dan Syria ? Masihkan mereka lena dengan kemewahan yang dinikmati ?
Hendak membantu dengan senjata kita tidak mampu. Hanya tekanan melalui bantahan dan doa sahaja yang boleh kita bantu. Mengenangkan nasib mereka yang ditindas berabad lamanya. Semoga bumi Palestine terus terpelihara.
Comments
Post a Comment