Penceroboh Tumpas
Assalamualaikum. Baru semalam sahaja saya menceritakan kisah pencerobohan dan pertempuran di Lahad Datu, Sabah. Hari ini dikhabarkan berlaku insiden berbalas tembakan antara pasukan keselamatan dengan seorang penceroboh di perairan laut Silam, Lahad Datu.
Berdasarkan laporan, pasukan keselamatan negara dikatakan mengesan sebuah bot yang dipandu oleh seorang lelaki. Oleh sebab curiga dengan tindakan suspek, pasukan keselamatan cuba menghampiri bot berkenaan. Menyedari tindakan tersebut, suspek memecut laju bot tersebut dan melepaskan tembakan ke arah pasukan keselataman.
Pasukan keselamatan kemudiannya membalas tembakan bagi mempertahankan diri. Selang beberapa minit, pasukan keselamatan menemui semula bot tersebut dan mendapati terdapat seorang lelaki terbaring di dalam bot berkenaan dengan kesan tembakan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata hasil siasatan mendapati suspek merupakan salah seorang komander kumpulan Abu Sayyaf iaitu militan di Selatan Filipina. Suspek juga dipercayai terlibat dengan beberapa siri kes penculikan dan rompakan di Sabah sebelum ini.
Beliau juga turut berkata suspek berkemungkinan memasuki perairan negara untuk memantau gerak-geri pasukan keselamatan negara dan menyalurkannya kepada kumpulannya. Tindakan mereka ini merupakan satu kes jenayah rentas sempadan.
Pihak polis juga menemui selaras senapang patah dengan beberapa butir peluru. Pihak polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan saki-baki kumpulan suspek.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din menunjukkan senjata dan peluru yang dirampas dari bot suspek.
Gambar : Berita Harian Online
Siapa sangkakan ? Sedang kita lena dibuai mimpi, ada yang bersabung nyawa di tengah lautan. Alhamdulillah. Insiden semalam tidak mencederakan pasukan keselamatan negara. Kita juga sedia maklum beberapa insiden penculikan dan pencerobohan masih lagi berlaku di Pantai Timur Sabah. Pelbagai cara sudah diambil bagi mengatasi ini. Kerjasama orang awam juga membantu pihak keselamtan menghidu gerak-geri musuh. Semoga Malaysia terus dilindungi.
Comments
Post a Comment