13 FEBRUARI 2017
Pada 13 Februari 2017, Malaysia dikejutkan dengan satu kes pembunuhan yang mendapat liputan media seluruh dunia. Abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, iaitu Kim Jong Nam disahkan dibunuh di Kuala Lumpur International Airport 2 ( KLIA2 ) pada tarikh tersebut.
Sumber : Astro Awani
Perkara ini disahkan oleh Ketua Polis Negara pada masa itu iaitu Tan Sri Khalid Abu Bakar. Kim Jong Nam dipercayai dibunuh oleh 2 wanita warga Indonesia dan Vietnam. Kedua-dua suspek dilaporkan menyapu racun kimia pada wajah mangsa sebelum berlalu begitu sahaja. Melalui rakaman CCTV, mangsa dilihat membuat aduan kepada polis yang berkawal di situ sebelum dibawa ke unit kesihatan di sana. Dia kemudiannya dikatakan tidak sedarkan diri sebelum disahkan maut oleh petugas kesihatan ketika itu.
Untuk pengetahuan umum, kes ini membuatkan hubungan Kuala Lumpur - Pyongyang menjadi tegang apabila berlakunya ketidak puasan hati pihak Korea Utara terhadap Malaysia dengan menuduh pihak berkuasa kita sengaja mengada- adakan cerita, menuduh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kekerasan semasa penyiasatan dan pelbagai tuduhan tidak berasas dilemparkan kepada Malaysia. Namun, itu semua dinafikan sekeras-kerasnya oleh kerajaan dan PDRM. Sebaliknya, mereka menjalankan tugas dengan telus dan pihak Korea Utara dilihat sengaja mencari jalan untuk melarikan diri dari kes ini.
Keadaan semakin runcing apabila Korea Utara pada 7 Mac 2017 mengeluarkan arahan melarang semua rakyat Malaysia di Pyongyang termasuk diplomat Malaysia di sana keluar dari Korea Utara. Ini merupakan satu tindakan yang menegangkan lagi hubungan diplomatik yang dijalinkan. Terkejut dengan tindakan yang dibuat itu, Malaysia menganggap mereka sengaja menjadikan rakyat kita sebagai tebusan. Susulan tindakan tersebut, kerajaan tidak berdiam diri dan tidak mengambil masa yang lama untuk mengambil tindakan. Datuk Seri Zahid Hamidi kemudiannya mengumumkan Malaysia turut melarang semua rakyat Korea Utara keluar dari Malaysia dan arahan diberikan kepada Jabatan Imgresen Malaysia untuk menutup laluan keluar kepada rakyat Korea Utara.
Ekoran itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengadakan sidang tergempar mengenai isu ini. Beliau bergegas menghadiri mesyuarat ini di Subang, Selangor sebaik sahaja beliau tiba dari Jakarta, Indonesia.
Sidang tergempar turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Tan Sri Zulkifeli serta pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.Tujuan sidang tergempa ini bagi membincangkan keselamatan rakyat Malaysia di Korea Utara serta mencari jalan untuk membawa pulang semua rakyat Malaysia di sana
Pada 30 Mac 2017, khabar gembira diumumkan oleh Perdana Menteri kita apabila beliau memaklumkan rakyat kita dibenarkan pulang ke Malaysia. Hasil rundingan kerajaan Malaysia dengan Korea Utara, rakyat kita dapat dibenarkan meninggalkan negara berkenaan. Ekoran itu, Malaysia turut membuka semula laluan keluar kepada rakyat Korea Utara.
Leftenan Kolonel Hariszan Kami
Sumber: malaysiagazette.com
Jam 5.00 pagi 31 Mac 2017, semua rakyat Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan khas. Alhamdulillah mereka tiba dengan selamat. Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Luar Negara, Datuk Seri Aniffah Aman. Mereka merupakan mangsa krisis diplomatik yang berlaku ketika ini.
" Perasaan saya bercampur baur semasa memasuki ruang udara Korea Utara, tetapi saya menganggap ini misi menyelamatkan keluarga sendiri ", itu merupakan luahan daripada juruterbang Tentera Udara Malaysia (TUDM), Leftenan Kolonel Hariszan Kamis yang dipertanggungjawabkan membawa pulang rakyat Malaysia. Beliau menarik lafas lega sebaik sahaja meninggalkan ruang udara negara berkenaan. Ketika itu, beliau berkata misi sudah hampir berjaya.
Tahniah ! Syabas ! Terima Kasih ! Itu yang mampu saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu diplomatik ini. Ketagasan kerajaan Malaysia dalam melindungi tanah air dan rakyatnya harus dipuji. Penyelesaian dapat dicapai hasil rundingan kerajaan kita. Walaupun isu ini masih lagi berjalan siasatan dan pendakwaannya, kita seharusnya bersyukur apabila tidak berlaku sebarang situasi yang lebih buruk.
Sengaja saya naikkan semula hal ini kerana saya ingin mengingatkan kita semua, keamanan dan kesejahteraan negara boleh dicapai tanpa sebarang peperangan. Kebijaksanaan pemimpin kita menangani isu ini seharusnya dipuji. Sokongan padu masyarakat pada ketika itu juga dipuji apabila semuanya bersatu hati menyokong tindakan kerajaan kita tanpa mengira perbezaan fahaman politik. Harus diingatkan juga kesepakatan kita ini seharusnya dikekalkan setiap masa kerana ini juga membantu mengekalkan kesejahteraan negara kita.
Sesungguhnya isu ini telah membuktikan segalanya. Semoga semua mengambil iktibar dari isu ini. InsyaAllah. Terima kasih.
Comments
Post a Comment