F/A 18D Hornet Mendarat Cemas
ASSALAMUALAIKUM
28 November 2017 . Sekali kita dikejutkan dengan berita pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia ( TUDM ) mendarat cemas . Kali ini ia melibatkan pesawat pejuang TUDM F/A 18D Hornet yang melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ( LTAK ), pada petang tadi.
Pesawat F/A 18D Hornet yang mendarat cemas di LTAK petang tadi.
Gambar : Buletin TV3 Online
Berdasarkan maklumat dari Jurucakap Perhubungan Awam, Markas TUDM memaklumkan bahawa pesawat ini terpaksa melakukan pendaratan cemas di LTAK kerana terdapat masalah pada sistem pendaratan pesawat. Difahamkan juruterbang pesawat berkenaan yang menyedari masalah tersebut selepas petunjuk dalam kokpit pesawat memberi amaran kerosakan. Hal ini menyebabkan juruterbang terus menghubungi menara kawalan LTAK untuk melakukan pendaratan.
Sejurus menerima maklumat, Perkhidmatan Kebakaran dan Penyelamat Lapangan Terbang ( AFRS ) segera mengerahkan anggotanya untuk membuat persediaan kecemasan semasa pesawat TUDM itu mendarat. Semua aktiviti penerbangan di LTAK juga diarah untuk menunda waktu penerbangannya bagi memberi laluan kepada kecemasan tersebut.
Anggota AFRS serta jentera bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan di LTAK petang tadi.
Gambar : Buletin TV3 Online
Difahamkan pesawat F/A 18D Hornet itu dalam perjalanan dari Pangkalan Udara Labuan ke Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang selepas terlibat dalam latihan ketenteraan yang diadakan di Sabah baru-baru ini. Pesawat berkenaan bagaimanapun selamat melakukan pendaratan cemas di LTAK tanpa mengakibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Untuk makluman semua, pesawat F/A 18D ini sudah berkhidmat dan menjaga ruang udara Malaysia selama 20 tahun. Mula berkhidmat dalam TUDM pada tahun 1997. Pesawat ini antara pesawat tercanggih yang dimiliki oleh TUDM pada masa kini.
Walaupun dilihat sudah lama berkhidmat, pesawat ini masih mampu menjaga keselamatan negara kita walaupun banyak pesawat moden yang baru sudah dikeluarkan . US Navy antara yang masih menggunakan pesawat F-18 ini . Pesawat F/A 18D ini juga antara aset yang digunakan oleh Angkatan Tentera Malaysia ( ATM ) semasa OPS DAULAT pada Mac 2013 semasa memerangi pengganas Sulu yang menceroboh Lahad Datu, Sabah.
Foto menunjukkan pesawat F/A 18D Hornet TUDM semasa menjalankan serang balas terhadap pengganas Sulu pada Mac 2013.
Pesawat ini mampu lagi berjasa kepada negara kita jika diselenggarakan dengan baik. InsyaAllah kita doakan sama-sama semoga kerajaan mampu membiayai dana pembelian pesawat baru dan penyelenggaraan pesawat sedia ada.
Seperti biasa juga, syabas kepada juruterbang pesawat F/A 18 Hornet yang membuat pendaratan cemas petang tadi kerana berjaya mengawal keadaan. Khidmat anda di Malaysia masih ditagih. Terima Kasih .
* Mungkin di entri seterusnya saya akan menceritakan kembali insiden pencerobohan Lahad Datu.
Comments
Post a Comment