Banjir Kembali
Musim tengkujuh mula melanda negara di penghujung tahun 2017. Sebagaimana yang kita ketahui, negara kita akan menerima hujan yang lebat setiap kali hujung tahun menjelma. Apa yang merisaukan kita semua, hujan lebat yang berterusan menyebabkan beberapa negeri di Malaysia terlibat dengan bencana banjir terutamanya negeri-negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Semalam, banjir mula melanda negeri Kelantan dan Terengganu ekoran hujan lebat berterusan. Keadaan ini mengakibatkan paras air sungai di negeri-negeri tersebut meningkat dan mula melimpah.
Memang sudah dijangka bencana banjir ini kerana ianya berlaku setiap tahun. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ( JBPM ), Angkatan Pertahanan Awam ( APM ) serta Angkatan Tentera Malaysia ( ATM ) antara agensi yang sudah bersiap siaga untuk menghadapi bencana banjir serta menghulurkan bantuan kepada mangsa.
Setakat jam 7.00pm tadi, mangsa banjir di Kelantan mencatatkan seramai 12,833 mangsa dan keadaan dilihat semakin pulih berikutan hujan lebat mulai reda. Mereka ditempat di beberapa buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Apa yang menariknya kali ini, proses pemindahan mangsa dilihat berjalan lancar kerana mereka juga sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan berpindah sendiri tanpa menunggu arahan daripada agensi terbabit. Mereka tidak lagi mahu " tunggu dan lihat " seperti dahulu. Bencana banjir besar pada penghujung tahun 2014 dilihat memberi pengajaran kepada mereka.
Gambar menunjukkan keadaan di Rantau Panjang yang lumpuh akibat air dari Sungai Golok melimpah.
Gambar : Berita Harian Online
Sementara itu, banjir di Terengganu juga dilihat semakin pulih dan jumlah mangsa yang terlibat sudah berkurang kepada 1,444 orang. Keadaan cuaca yang semakin pulih menyebabkan air mula surut dan mangsa banjir kebanyakkannya sudah dibenarkan pulang. Terdapat juga beberapa buah PPS yang masih dibuka menurut laporan daripada APM. Jika dilihat semalam, daerah Besut yang paling terjejas teruk apabila air mula membanjiri daerah tersebut dengan cepat dan mencatatkan bilangan mangsa yang paling ramai.
Perlis juga antara negeri yang dilanda banjir ekoran pelepasan air Empangan Timah Tasoh. Tindakan pelepasan air dibuat kerana paras air empangan dilihat sudah melepasi paras bahaya. Hal ini menyebabkan air terpaksa dilepaskan dengan membuka 4 pintu empangan. Akibatnya beberapa kampung dilanda banjir. Namun begitu, penduduk kampung sudahpun diberitahu mengenai hal ini lebih awal untuk membuat persediaan.
Walaupun bencana kali ini tidak seteruk padan tahun 2014, kita dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada. Kawal gerak-geri anak-anak kecil, jaga keselamatan keluarga serta ikut arahan yang dikeluarkan oleh pihak terbabit. Banjir kali inipun sudah ada yang terkorban akibat lemas. Jika dilihat gambar-gambar yang tular di media sosial, kita dapat lihat anak-anak kecil bermain air banjir umpama " taman tema air " . Sedarkah anda ini mampu meragut nyawa mereka ?
Ada juga yang menjadikan banjir ini sebagai sumber rezeki. Gambar di atas dapat dilihat 2 orang lelaki menjala ikan semasa air mula naik di Kelantan. Turut tular di media sosial ialah gambar seorang warga emas yang mengambil kesempatan menjual ubi semasa musim banjir.
Namun begitu, harus diingatkan sentiasa menjaga keselamatan diri. Walaupun bencana yang melanda tidak teruk, langkah berwaspada perlu diambil. Sentiasa ikut arahan yang dikeluarkan. Semoga mangsa banjir tabah menghadapi dugaan kali ini. Takziah diucapkan buat keluarga mangsa korban banjir. Difahamkan mangsa baru sahaja selesai menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Terima Kasih . . .
Comments
Post a Comment